JANUARI 2026

IDIP PLATFORM LAHIRKAN KADER DAKWAH BERILMU, BERWIBAWA — ABANG JOHARI


KOTA BHARU, 29 Januari 2026 - Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) terus berperanan sebagai platform penting dalam melahirkan kader dakwah berilmu, berakhlak dan berwibawa bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam masa kini, kata Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.

Menurut beliau, majlis berkenaan bukan sekadar acara penyampaian sijil, sebaliknya menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih para pelajar yang menamatkan pengajian dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam, selain menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan mereka.

“Sijil yang diterima hari ini bukan noktah, tetapi permulaan kepada satu perjalanan yang lebih besar. Para graduan perlu terus menimba ilmu, memperkukuh kemahiran dan menjadikan ilmu sebagai panduan berkhidmat kepada agama serta masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan lawatan itu merupakan lawatan pertamanya ke IDIP Kota Bharu selaku Yang Dipertua PERKIM, yang diharap dapat memperkukuh ukhuwah serta membuka ruang kerjasama dan idea baharu dalam memperkasa institusi berkenaan.

Dalam pada itu, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada para pensyarah, kakitangan institut dan ahli keluarga pelajar atas sokongan berterusan, termasuk ibu bapa bukan Islam yang hadir memberi dorongan kepada anak-anak mereka.

Mengulas peranan IDIP, beliau berkata institut berkenaan telah membuktikan keupayaannya melahirkan pendakwah yang bukan sahaja menguasai ilmu, malah memiliki kepimpinan serta kemahiran profesional, di samping aktif menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK).

Beliau turut menyambut baik perancangan akademik masa hadapan, termasuk penubuhan Pusat Pengajian Islam MAIK (Program Pra-IDIP) di Lojing, Gua Musang, yang disifatkan sebagai langkah positif dalam memperluas akses pendidikan Islam.

Menyentuh mengenai infrastruktur, beliau mengambil maklum hasrat penambahbaikan kemudahan IDIP seperti pembinaan asrama muslimin, surau dan dewan serbaguna, yang disifatkan sebagai keperluan strategik jangka panjang dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Biro Pendidikan Islam Sarawak akan menyumbangkan dana RM1 juta kepada IDIP bagi pembangunan asrama lelaki, sebagai sokongan terhadap kebajikan dan keselesaan pelajar.

Beliau berharap IDIP terus menjadi institusi unggul dalam dakwah dan pendidikan Islam serta melahirkan generasi pendakwah yang progresif, berinovasi dan memberi manfaat kepada ummah serta negara.

Abang Johari turut berkesempatan melawat Institut Dakwah Islamiah PERKIM.